JKKK, KETUA ADAT DIMINTA FOKUS KEPADA TIGA PERKARA
Labels:
dasar kerajaan,
ekonomi,
jkkk,
yb sabah
Saranan terhadap fokus itu dinyatakan oleh wakil rakyat Membakut Datuk Haji Mohd Arifin Mohd Arif pada majlis pertemuan dengan JKKK dan Ketua Adat Zon Damai di Balai Raya Kampung Pimping di sini.
Mohd Arifin berkata tiga perkara yang perlu difokuskan itu ialah pendidikan, gejala sosial dan pembangunan.
Beliau berkata bagi pendidikan JKKK dan Ketua Adat perlu sentiasa bekerjasama dengan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan juga pihak sekolah.
“Pastikan anak-anak kariah masing-masing tidak tercicir daripada menikmati pendidikan,” katanya.
Bagi gejala sosial pula, Mohd Arifin berkata JKKK dan Ketua Adat perlu mengadakan kerjasama dengan badan atau persatuan bukan kerajaan serta ajk masjid.
Pastikan, katanya, aktiviti yang boleh menyumbang kepada gejala sosial bukan sahaja dihalang tetapi dipastikan tidak dapat dilaksanakan.
Mengenai pembangunan Mohd Arifin berkata adalah penting bagi JKKK dan Ketua Adat sentiasa mengemaskini kampung masing-masing.
Beliau menegaskan JKKK dan Ketua Adat perlu menyenaraikan masalah untuk diselesaikan berdasarkan jangka pendek dan jangka panjang.
Menurutnya JKKK dan Ketua Adat juga perlu menyenaraikan cadangan pembangunan dan keperluan berdasarkan keutamaan dan lebih diperlukan oleh rakyat.
Katanya, pembangunan sosial juga tidak harus diketepikan di mana JKKK dan Ketua Adat bukan sekadar memberi kerjasama tetapi turut perlu memberi sokongan kepada program-program yang diperkenalkan oleh kerajaan seperti e-Kasih dan program CARI.
Beliau berkata program seperti pembangunan ekonomi seperti kursus atau seminar yang dianjurkan oleh mana-mana jabatan atau agensi kerajaan perlu diberikan kerjasama selain sokongan.
“Program-program seumpama ini bertujuan membantu golongan orang susah dalam mempertingkatkan ekonomi mereka,” katanya. Sebelum ini program yang sama bagi JKKK dan Ketua Adat Zon Permai telah pun diadakan.
No comments:
Post a Comment