Politik Malaysia: Persoalan perkauman dan ideologi (Bhg 3/3)
Pendekatan kelas amat dipengaruhi oleh pemikiran Marx yang melihat masyarakat (termasuk masyarakat Malaysia) secara asasnya terbahagi kepada dua kelompok iaitu golongan pemodal (kapitalis-borjuis) dan pekerja (proletar).
Hubungan antara dua golongan ini dicirikan oleh eksploitasi dan permusuhan. Golongan pemodal yang kaya dan berkuasa mengeksploitasi buruh golongan pekerja (proletar).
Atas hakikat ini maka lahirlah permusuhan antara dua kelas ini (class antagonism). Bagi mereka yang menganut fahaman Marxis, fenomena eksploitasi dan permusuhan ini berlaku dalam sejarah kehidupan manusia sejak dulu hinggalah sekarang.
Semasa zaman feudal, kajian yang dibuat oleh Gullick (1958) memperlihatkan kepada kita betapa berkuasanya raja/sultan yang memerintah (the ruler) ke atas rakyat yang diperintah (the ruled).
Dari perspektif pemikiran Marxis hubungan antara yang memerintah dengan yang diperintah adalah hubungan yang bersifat eksploitatif.
Kepatuhan rakyat kepada raja diperkukuhkan dengan pelbagai isbat (sanctions) yang bersifat jelas seperti pelbagai hukuman yang dikenakan dan bersifat simbolis seperti terangkum dalam konsep daulat.
Di peringkat daerah, bentuk hubungan yang sama wujud antara pembesar daerah dan pengikutnya.
Begitu juga di peringkat kampung di antara elit tempatan khususnya tuan tanah (landlords) dan petani khususnya petani yang tidak memiliki tanah.
Bentuk hubungan yang wujud di pelbagai lapisan masyarakat, sebagaimana yang dikemukakan secara ringkas di atas, nampaknya membenarkan tanggapan Marx.
Kajian dikalangan masyarakat Melayu luar bandar oleh Syed Husin Ali (1975) juga membenarkan hakikat ini.
Sayangnya kajian yang menggunakan pendekatan kelas dalam kalangan masyarakat Cina dan India belum diterokai dengan secara yang lebih mendalam dan sistematis.
Berbeza dengan Marx, Weber (seorang ahli sosiologi Jerman yang terkenal) berpandangan bahawa perbezaan kelas (terutamanya kelas sosial) dalam kalangan masyarakat bukan semata-mata ditentukan oleh aspek kebendaan tetapi oleh rasa hormat yang tinggi (deference) kerana individu berkenaan memiliki ciri-ciri yang istimewa yang tidak ada pada individu lain.
Sebagai contoh, seorang professor universiti dihormati (dalam erti kata mempunyai status sosial yang tinggi) bukan disebabkan beliau memiliki harta kekayaan yang banyak tetapi memiliki ilmu yang hebat.
Seorang imam di peringkat kampung dihormati bukan atas dasar beliau seorang yang berharta tetapi disebabkan oleh beliau memiliki sifat-sifat yang terpuji seperti warak.
Penghormatan ke atas Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang boleh dilihat dari perspektif yang sama.
Ciri bukan kebendaan (non-material) lain, selain rasa penghormatan yang tinggi, yang membezakan kelas sesaorang dengan yang lain, adalah gaya hidup (lifestyles).
Angkubah gaya hidup seperti lokasi perumahan, jenis rumah, hobi, bahasa percakapan harian, jenis hotel penginapan, jenis kenderaan yang digunakan dan sebagainya akan menentukan kelas sesaorang.
Dengan menggunakan kayu ukur inilah maka pengkaji seperti Syed Husin Ali (1972) berhujah mengatakan pimpinan tertinggi politik Barisan Nasional (terdiri dari Melayu, Cina dan India) adalah tergolong dalam kelas yang sama.
Ini juga bermakna faktor ras atau perkauman tidak lagi relevan dalam perkiraan penentuan kelas. Pandangan ini mempunyai kekuatan hujahnya yang tersendiri.
Cuma apa yang menjadi masalah atau problematik dari sudut analisis kelas ialah apabila golongan elit politik atasan dikaitkan dengan golongan bawahan.
Tidak menjadi masalah untuk elit politik pelbagai ras bersatu dalam satu kelas yang tersendiri berdasarkan gaya hidup yang mereka ikuti.
Walau bagaimanapun, golongan bawahan pelbagai ras masih tidak mampu untuk bersatu dalam satu kelas bagi tujuan "menentang" golongan atasan.
Ini tidak menafikan hakikat bahawa golongan bawahan pelbagai ras mempunyai gaya hidup yang sama iaitu mereka semua dibelenggu oleh fenomena kemiskinan.
Ini juga bermakna hubungan antara golongan atasan dengan golongan bawahan tidak didasari oleh permusuhan kelas (class antagonism).
Sudah semestinya terdapat penyuaraan "permusuhan" dalam kalangan orang Melayu yang miskin kepada orang Melayu yang kaya.
Begitu juga halnya di kalangan masyarakat bawahan Cina dan India. Tetapi suara-suara yang memprotes ketidakadilan ini tidak dapat digembelingkan dalam satu kolektiviti yang menyeluruh yang merentasi sempadan perkauman.
Ia tidak boleh berfungsi sebagai satu tenaga atau kuasa yang kuat yang boleh menggugat kedudukan golongan atasan atau borjuis.
Bagi Marx, manifestasi kelas yang wujud secara dalaman dalam kalangan golongan bawahan yang tidak mampu merubah status quo politik yang ada dikenali sebagai class-in-itself.
Sebaliknya kelas bawahan yang mampu merubah status quo politik yang ada dikenali sebagai class-for-itself.
Dalam kalangan masyarakat Melayu, pada tahun 1960-an, sebagaimana yang dihujah oleh Swift dalam kajiannya terhadap masyarakat Melayu di Jelebu, Negeri Sembilan, mendapati masyarakat Melayu tidak memiliki kesedaran kelas (class consiousness) tetapi lebih kepada kesedaran sinis (cynical awareness).
Gerakan reformasi pada akhir 1990-an yang diikuti dengan pilihan raya umum 1999 bagaimana pun telah merubah persepsi di atas. Perubahan politik ini dilihat oleh sebahagian pengkaji sebagai suatu perubahan politik yang agak radikal.
Mereka melabel perubahan ini sebagai "politik baharu" Malaysia. Hasil dari "politik baharu" ini ada tanda-tanda yang memperlihatkan bahawa golongan bawahan mampu bersatu merentasi sempadan perkauman dalam menyuarakan hal-hal yang berkaitan dengan keadilan dan pengagihan.
Peranan gerakan Islam seperti PAS adalah penting dalam membentuk nilai dan gerakan dalam era "politik baharu" ini bukan dalam bentuk menaja permusuhan kelas tetapi menyediakan program-program yang pelbagai (ekonomi, politik dan sosial) bagi merealisasi secara praktikal gagasan keadilan pengagihan (distributive justice) yang selari dengan tuntutan al-adl wa al-ihsan sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran.
Dari sudut perbahasan teoritis, pendekatan yang menggunakan paradigma ras atau perkauman tidak bersifat ideologikal.
Ini kerana perkauman itu sendiri bukanlah merupakan satu bentuk ideologi kerana secara lazimnya idelogi didefinisikan sebagai satu sistem pemikiran (a system of ideas).
Dari perspektif ini, usaha-usaha untuk memahami realiti politik Malaysia dengan menggunakan pendekatan kelas adalah lebih bersifat idelogikal.
Secara yang khusus, Islam bukanlah sebuah ideologi yang terbit dari pemikiran manusia; ia adalah wahyu Allah. Walau bagaimanapun, Islam sebagai satu sistem yang syumul untuk mentadbir kehidupan manusia, maka dari sudut ia memiliki ciri "ideologi."
Persoalan idelogi mungkin menjadi suatu yang signifikan sebagai instrumen bagi menganalisis politik Malaysia, sekiranya ada usaha yang serius untuk membina sub-bidang pemikiran politik Malaysia ini.
Pemikiran politik sudah semestinya bersifat ideologikal. Dominannya BN (sebelum Pilihan Raya Umum ke-12) dalam politik Malaysia yang bergerak atas pertimbangan pragmatisme, menyebabkan kerelevanan ideologi sebagai satu kaedah untuk memahami realiti politik Malaysia, terus terpinggir.
Sekiranya DAP yang perjuangannya berpegang kepada ideologi democratic socialism, PAS dengan ideologi Islamnya dan PKR dengan ideologi social justice diberi peluang memainkan peranan yang dominan dalam politik Malaysia, maka persoalan ideologi sebagai satu instrumen bagi menganalisis dan juga mentakrif politik Malaysia akan sudah semestinya menjadi lebih penting.
Dalam hal ini sudah semestinya PAS akan menjuarainya kerana ideologi Islam sebagai asas perjuangannya adalah untuk mengajak manusia ke jalan kebenaran dan kesejahteraan hidup tanpa dibebani dengan persoalan perkauman.
Penulis ialah bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan pengarang Teori Domino: PRU 13 BN Tumbang terbitan Jundi Resources.
No comments:
Post a Comment