Thursday, 10 May 2012

APAKAH WASATHIYYAH


Umno cabul konsep wasathiyyah



1. Dewasa ini, istilah wasathiyyah itu telah diselewengkan pengertiannya dan perlaksaannya oleh kerajaan UMNO-BN.  Saya melihat penggunaan slogan yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia ini bagai mengetuk tin yang kosong. 
 
2. Bahkan amatlah malang sekiranya penggunaannya adalah demi tujuan yang batil sehingga berlakunya penyelewengan pada konsep sebenar Islam wasathiyyah.
3. Wasathiyyah ini adalah bertitik tolak dari apa yang telah Allah subhanahu wa ta’ala firmankan di dalam surah al-Baqarah ayat 143 yang berbunyi :
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا
“Dan demikianlah (sebagai mana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil…”
 
4. Para ulamak dahulu dan sekarang telah membincangkan mengenai pengertian wasathiyyah ini dengan panjang lebar menurut kaca mata Islam. Apa yang kita kesal adalah kerajaan UMNO-BN melaksanakan konsep wasathiyyah 1 Malaysia yang menatijahkan kecelaruan kepada pemikiran umat Islam di Malaysia akan erti sebenar wasathiyyah.
 
5. Imam al-Asfahani rahimahullah membawakan pengertian wasatha dengan pengertian yang ringkas dan mudah untuk kita fahami. Beliau menjelaskan bahawa dengan hakikat wasatha [tidak berlebih-lebih] itu ada di antara dua perkara yang madzmumah [tidak baik]. Seperti sifat kemurahan hati, ia adalah satu sifat pertengahan di antara dua sifat yang buruk iaitu bakhil dan boros.
 
6. Adapun wasathiyyah yang telah disebutkan oleh Allah subahanahu wa ta’ala di dalam ayat di atas telah ditafsirkan oleh Imam Ibnu Jarir al-Thobari rahimahullah. Beliau berpendapat Allah subhanahu wa ta’ala memilihi sifat wasathiyyah untuk menyifatkan ehwal umat Islam adalah hanya kerana sifat tersebut merupakan sifat perantaaraan kepada agama [Islam]. Maka, dengan sifat tersebut umat Islam tidak akan menjadi ahlu al-Ghulu / ahlu al-Ifrath [orang yang berlebih-lebih] ataupun ahlu al-Taqshir / ahlu al-Tafrith [orang yang meringan-ringankan].
Kata Imam Ibnu Jariri al-Thobari rahimahullah :
"ولكنهم أهل توسّط واعتدال فيه، فوصفهم الله بذلك، إذ كان أحبّ الأمور إلى الله أوسطها"
 
7. Tuntasnya, wasathiyyah yang dikehendaki di dalam Islam boleh disimpulkan sebagai, “al-I’tidal (Kesederhanaan) , al-khairiyyah (kebaikkan), al-Qisth (keadilan) dan al-Rif’ah (ketinggian) dengan sebab sifat-sifat mahmudah (terpuji) yang tidak terlalu rigid (ifrath) dan tidak terlalu longgar (tafrith).
 
8. Apabila istilah wasathiyyah disandarkan kepada umat Islam, maka ia membawa maksud : Umat Islam yang mencapai sifat-sifat mahmudah yang terbit daripada kedudukan syariat Allah dalam kesederhanaan, kebaikan, keadilan dan ketinggian yang menjadikannnya penghulu segala umat.
 
9. Peristiwa yang menjelaskan kedudukan wasathiyyah ini telah diperjelaskan oleh Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam seperti yang tercatat di dalam hadits :وعن أنس ـ رضي الله عنه ـ قال : جاء ثلاثة رهط إلى بيوت أزواج النبي صلى الله عليه وسلم ، يسألون عن عبادة النبي صلى الله عليه وسلم، فلما أخبروا كأنهم تقالوها وقالوا : أين نحن من النبي صلى الله عليه وسلم قد غفر له تقدم من ذنبه وما تأخر ؟! قال أحدهم : أما أنا فاصلي الليل أبداً ، وقال الآخر : وأنا أصوم الدهر ولا أفطر ، وقال الآخر : وأنا أعتزل النساء فلا أتزوج أبداً ، فجاء رسول الله صلى الله عليه وسلم إليهم فقال : ( أنتم الذين قلتم كذا وكذا ؟! أما والله إني لأخشاكم لله وأتقاكم له ، لكني أصوم وأفطر ، وأصلي وأرقد ، وأتزوج النساء ، فمن رغب عن سنتي فليس مني) - متفق عليه

Daripada Anas bin Malik radhiyallahu `anhu berkata: Tiga orang lelaki datang ke rumah isteri-isteri Nabi saw bertanyakan tentang ibadah Nabi saw. Tatkala dikhabarkan kepada mereka, mereka bagaikan menganggap ianya sedikit.
Lantaran itu mereka berkata: “Di manakah kita berbanding Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sedangkan telah diampunkan untuk baginda dosa-dosa terdahulu dan terkemudiannya”. Berkata salah seorang mereka: “Adapun saya pasti akan mengerjakan solat sepenuh waktu malam selama-lamanya”. Berkata pula yang lain: “Saya akan berpuasa setahun penuh tanpa berbuka”. Berkata lagi seorang lagi: “Saya pula akan mengasingkan diri daripada wanita-wanita dan tidak berkahwin selama-lamanya”.
Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam lalu datang menemui mereka lantas bertanya: “Kamukah yang berkata demikian-demikian? Adapun saya demi Allah merupakan orang yang paling takut dan paling bertaqwa kepada Allah di kalangan kamu tetapi saya berpuasa dan berbuka, saya solat dan tidur dan saya mengahwini wanita-wanita. Oleh itu sesiapa yang bencikan sunnahku maka dia bukan di kalanganku.”
 
10. Sekiranya melakukan ibadah sebagaimana di atas juga telah ditegur oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, bagaimana pula kerajaan UMNO-BN yang berlebih-lebih di dalam belanja sehingga menjadikan ianya fitnah, penyelewengan, korupsi dan lain-lainya menterjemahkan wasathiyyah di dalam sistem pemerintahannya ?
 
11. Wasathiyyah dalam pentadbiran dapat dinilai apabila sesebuah kerajaan itu ditadbir oleh Islam dan bukannya mentadbir Islam. Saya  ingin menegaskan bahawa konsep wasathiyyah yang dilaungkan oleh UMNO menerusi YAB Perdana Menteri adalah bersalahan dengan makna wasathiyyah yang sebenar.
 
12. Laungan dan perlaksanaan wasathiyyahnya adalah bercanggah dari apa yang difahami dan yang terdapat di dalam ajaran Islam. Sesungguhnya kerajaan UMNO-BN telah mencabul pemahaman wasathiyyah yang sebenar dan mengambil perkataan tersebut untuk membenarkan segala tindakan mereka.
Kata Saidina ‘Ali radhiyallahu ‘anhu :
كلمة حق أريد بها باطل
Kalimahnya yang benar dikehendaki dengannya maksud yang batil.
 
13. Antara pencabulan UMNO-BN ke atas prinsip sebenar wasathiyyah :
a] . Isu perbelanjaan majlis hari jadi Perdana Menteri dan kos majlis pertunangan anaknya.
Sebagai seorang pemimpin yang melaungkan slogan Islam Wasathiyyah, perlakuan ini jelas menafikan kefahaman beliau di dalam tindakan dan amalannya. Walaupun benar, sekiranya majlis tersebut menggunakan duit beliau dan beliau mampu untuk membiayai kos tersebut tetapi persoalannya bagaimanakah sanggup seorang pemimpin yang kononnya menjulang prinsip wasathiyyah di dalam Islam melakukan pembaziran sedangkan masih ada di antara rakyatnya yang hidup secara gelandangan ?
Adapun kos majlis hari jadi beliau dikatakan mencecah kepada RM 79,053.
Makluman yang diterima majlis seorang pemimpin rakyat yang mencecah kepada puluhan ribu ringgit itu hanya dihadiri oleh golongan yang bergaji besar dan berpangkat tinggi. Di sini sahaja sudah timbul pertanyaan di mana wasathiyyahnya ?
Andaikan sahaja dari jumlah tersebut digunakan untuk membantu rakyatnya yang masih bergelandangan.
Bukan itu sahaja, kos yang dilaporkan untuk mengadakan majlis pertunangan anak seorang pemimpin Islam wasathiyyah berjumlah RM 409,767.
Inikah cara terbaik seorang pemimpin Islam wasathiyyah mempraktikkan wasathiyyahnya di hadapan rakyatnya iaitu bermegah dengan kekayaan dan pembaziran?
Bukan kemampuan yang menjadi persoalan tetapi di mana konsep wasathiyyah yang menjadi tanda tanya.
b] . Isu royalti minyak kepada kerajaan negeri Kelantan
Isu ini bukan isu baru untuk diperbahas atau diperbincangkan. Sebagai pemimpin yang menjadikan wasathiyyah sebagai prinsip di dalam sistem pemerintahannya, kerajaan UMNO-BN perlu berlaku adil dengan memberikan hak kepada mereka yang berhak.
Hak rakyat Kelantan disekat kerana kerajaan negeri Kelantan tidak ditadbir oleh sekutunya atau yang sebulu dengan kerajaan pusat.
Justeru itu, hak tersebut tidak diberikan secara lansung kepada kerajaan PAS yang memerintah di Kelantan.
Hal yang sama juga pernah berlaku di Terengganu ketika negeri tersebut diperintah oleh Tuan Guru Presiden PAS Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang hafidzhohullah.
Sekira inilah perangai mereka yang kononnya melaungkan konsep wasathiyyah di hadapan rakyat maka sesungguhnya inilah perbuatan khianat ke atas sifat mulia yang dijanjikan oleh Allah kepada umat Islam.
c] . Ketelusan di dalam Pilihan Raya dan sistem Pilihan Raya
Kerajaan yang mengamalkan konsep wasathiyyah yang sebenar pasti memastikan pemilihan rakyat dalam pembentukkan kerajaan dilakukan dengan adil dan telus.
Ini kerana sebagai kerajaan yang memerintah dengan konsep wasathiyyah mereka sedar dan tahu bahawasanya mereka ini adalah lantikan dari rakyat untuk bekerja demi maslahah rakyat dan negara.
Tanggungjawab yang begitu besar ini hanya difahami oleh pemimpin yang memiliki sifat wasathiyyah ini.
Perbuatan khianat di dalam pembentukkan kerajaan mahupun proses-proses Pilihan Raya termasuklah daftar pemilih adalah perkara yang akan diperangi oleh kerajaan Islam Wasathiyyah.
Isu yang menimpa Tan Sri Khalid Ibrahim baru-baru ini sangat mengejutkan kita dan membuatkan kita bertanya-tanya adakah sampai begitu terdesak kerajaan wasathiyyah cara UMNO-BN ini memindahkan pengundi demi Pilihan Raya Umum yang ke 13 nanti.
Tindakan sebegini hanyalah mencabul kemuliaan wasathiyyah umat Islam.
 
14. Belum selesai kerajaan UMNO-BN mentarbiyyah rakyatnya apa itu Islam Hadhari, kini muncul pula Islam Wasathiyyah cara UMNO-BN.
 
15. Impaknya masyarakat hanya akan bertambah pening dan semakin tidak memahami apakah dia sebenarnya Islam.  Rakyat  berteka-teki Islam apakah pula yang akan dijadikan slogan oleh pimpinan UMNO-BN akan datang. Cukup-cukuplah mengelirukan rakyat dengan Islam yang dislogankan oleh mereka. Ini kerana mereka sendiri tidak memahami erti kata wasathiyyah di dalam Islam bahkan tidak pernah cuba untuk mengamalkannya di dalam sistem pentadbiran mereka.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

No comments:

Post a Comment