Cabaran Melaksanakan Hak Pemimpin dan Pengikut.
Kualiti kepimpinan memang diutamakan oleh Islam. Bagaimanapun, kualiti berkenaan tidaklah semata-mata terletak kepada pemimpin tetapi juga pengikut. Pengikut yang berkualiti akan melahirkan pemimpin yang berkualiti. Kualiti kepimpinan yang dilihat oleh Islam berhubung rapat dengan menunaikan amanah tanggungjawab kepimpinan.
Dalam hal ini, pemimpin mesti bersifat terbuka, sanggup menerima kritikan dan mengubah tanggapan negatif yang merosakkan kesejahteraan pengikut atau rakyat. Islam turut menggariskan hak-hak pemimpin dan yang dipimpin dan ia perlu dilaksanakan untuk mencapai kecemerlangan dalam kehidupan.
Satu yang perlu difahami dalam kepimpinan Islam ialah ungkapan bahawa ‘Pemimpin yang baik juga adalah pengikut yang baik’. Kenyataan ini adalah antara kesimpulan yang dibuat oleh pengkaji kepimpinan merujuk kepada seorang pemimpin yang berkesan di mana dalam masa yang sama dia juga menjadi pengikut yang baik.
Oleh kerana tugas memimpin merupakan satu amanah yang penting lagi berat, Islam turut menggariskan hak-hak yang wajar diterima oleh pemimpin dari pengikut-pengikutnya. Kalau pemimpin diminta melaksanakan urusan kepimpinan dengan penuh amanah dan dedikasi, Islam juga meminta para pengikut melaksanakan tugas mereka kepada pemimpin. Terdapat sekurang-kurangnya tiga hak yang wajar dinikmati oleh pemimpin dari pengikut iaitu mendapat kepatuhan dan taat setia, mendapat kerjasama dan memperolehi teguran serta nasihat.
1. Mendapat Kepatuhan dan Taat Setia.
Kepatuhan dan taat setia dari para pengikut akan menentukan segala urusan berkaitan dengan kemasyarakatan berjalan lancar dan memastikan organisasi kepimpinan tidak kucar-kacir. Allah s.w.t. berfirman:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada RasulNya serta pemerintah di kalangan kamu, kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan (sunnah) rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik kesudahannya. Surah an-Nisaa', ayat 59.
Perlu dijelaskan bahawa ketaatan bukan hanya sekadar meliputi kepada perkara-perkara yang disukai, tetapi merangkumi juga perkara-perkara yang mungkin dibenci. Ini kerana dari segi fitrahnya, manusia mudah
taat kepada perkara yang disukai, tetapi sukar mentaati perkara yang tidak disukai.
Perintah ketaatan kepada pemimpin bagaimanapun tidaklah mutlak sebagaimana perintah ketaatan orang mukmin kepada Allah dan Rasul-Nya. Ini kerana Rasulullah s.a.w. menghadkan ketaatan kepada pemimpin hanya kepada perkara-perkara yang ma’ruf seperti sabda Baginda yang bermaksud: ‘Tidak ada ketaatan kepada perkara-perkara maksiat kepada Allah, sesungguhnya ketaatan itu hanya pada perkara-perkara ma’ruf’.
Islam juga menekankan bahawa ketaatan kepada pemimpin bukan kerana kehebatan personaliti atau kerana takut dan bimbang kepada sesuatu bentuk tindakan yang mungkin akan berlaku, tetapi ketaatan diberikan adalah kerana jawatannya yang dianugerahkan Allah untuk mentadbir urusan umat.
2. Mendapat Kerjasama.
Selain memberi ketaatan, para pengikut juga wajar memberi kerjasama dan memastikan sesuatu perancangan atau program yang digerakkan oleh pemimpin berjaya mencapai objektifnya. Pemimpin yang memimpin dalam lingkungan syariat wajar mendapat kerjasama sepenuhnya dari para pengikut. Kerjasama kepada pemimpin boleh dimanifestasikan dalam berbagai bentuk - dari berbentuk pengorbanan, mempertahankan kewibawaan pemimpin dengan lisan atau apa sahaja cara yang wajar sehingga kepada pengorbanan harta dan keringat.
Kerjasama dari pengikut bagaimanapun hendaklah timbul dari rasa tanggungjawab terhadap pemimpin yang menunaikan amanahnya seperti yang diperintahkan oleh Allah dan bukannya didorong oleh kepura-puraan atau kerana ada kepentingan lain.
3. Memperolehi Teguran dan Nasihat.
Hak ketiga yang wajar dinikmati oleh pemimpin ialah mendapat nasihat dan teguran yang baik dari para pengikut. Menyedari akan hakikat bahawa pemimpin juga bukanlah perfect, Islam meminta umatnya menegur dan memberi nasihat kepada pemimpin mereka.
Dalam hal ini pemimpin juga wajar bersifat terbuka, bersedia menerima teguran dan nasihat. Prinsip kepimpinan sebegini telah dibuktikan misalnya oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq yang membuka ruang kepada rakyat supaya beliau ditegur seperti disebut dalam ucapan dasarnya selepas dilantik sebagai khalifah Islam pertama menggantikan Rasulullah s.a.w., katanya yang bermaksud: ’Jika sekiranya kamu lihat aku melakukan kebaikan, bantulah aku, dan jika sekiranya kamu lihat aku melakukan kesalahan, betulkan aku’.
Saidina Umar al-Khattab r.a. berpendapat bahawa khalifah tidak boleh menganggap dirinya mempunyai keistimewaan-keistimewaan tertentu yang membezakannya dengan rakyat jelata sehingga tidak ada orang yang berani menegur. Ini akan membawa kepada kekacauan dan kemusnahan negara dan menyebabkan hubungan kasih sayang antara pemimpin dengan rakyat menjadi jauh.
Sikap keterbukaan pemimpin amat penting kerana ia boleh mencipta suasana yang harmoni antara pemimpin dengan para pengikut dan mewujudkan perasaan kasih sayang sesama mereka. Kerana itu Islam juga mengajar supaya pemimpin tidak menganggap dirinya mempunyai keistimewaan-keistimewaan yang membezakan dirinya dengan para pengikutnya.
Di sisi Allah, ukuran perbezaan di antara manusia adalah ketakwaan mereka, bukannya kedudukan dan kemewahan harta benda. Oleh kerana wujud sikap keterbukaan pemimpin, umat Islam tidak ragu-ragu
memberi nasihat, kerana menganggap agama itu adalah nasihat sepertimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
‘Agama itu adalah nasihat. Kami (para sahabat) berkata kepada siapa, ya Rasulullah? Sabda Rasulullah s.a.w. Kepada Allah, kepada rasul-Nya, kepada Kitab-Nya, dan kepada pemimpin-pemimpin umat Islam dan masyarakat mereka’.
Sistem teguran yang dianjur oleh Islam dianggap unggul kerana ia tidak memihak kepada pemimpin sepenuhnya dengan mengorbankan kepentingan ummah dan ia tidak pula memihak kepada kumpulan atau ummah dengan mengorbankan kepentingan pemimpin. Ia menjelaskan di antara tugas dan tanggungjawab seorang pemimpin di satu pihak dan tugas dan tanggungjawab pengikut di satu pihak yang lain.
Sementara itu, para pengikut juga berhak memperolehi manfaat dari pemimpin iaitu memperolehi perkhidmatan (service) yang terbaik. Pemimpin perlu meletakkan diri mereka sebagai orang yang sentiasa bersedia memberi perkhidmatan dan penyelesaian yang praktikal kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh pengikut-pengikut seperti mana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: ‘Pemimpin umat itu ialah khadam kepada mereka’.
Keputusan-keputusan dalam mengendalikan kepimpinan mesti berorientasikan kemaslahatan pengikut dan pemimpin perlu banyak meransang, mengambil inisiatif mengembleng tenaga, kepakaran dan sumber yang ada untuk mencapai objektif. Kepimpinan yang positif dari pemimpin akan menghasilkan budaya kualiti dan kehidupan cemerlang para pengikut.
Penyelesaian - Mewujudkan Kepimpinan Berkesan.
Untuk melahirkan kepimpinan Islam yang berkesan, caranya adalah pelbagai. Namun yang paling penting ialah apa yang dinyatakan oleh Ibn Taymiyyah (meninggal 728H) dalam bukunya al-Siyasah al-Syar’iyyah. Beliau memulakan perbincangan tentang keberkesanan kepimpinan dengan merujuk kepada ayat al-Qur’an yang menekankan tentang sifat amanah dan adil seorang pemimpin seperti yang disebut dalam al-Quran seperti berikut:15
Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar lagi sentiasa Melihat.
Bersifat amanah dan adil adalah dua sifat utama yang menjadi kayu ukur menentukan keberkesanan seorang pemimpin. Kedua-dua sifat tersebut mempunyai hubungan yang rapat dengan ketakwaan pemimpin kepada Allah s.w.t. Manifestasi dari sifat amanah dan adil seorang pemimpin memberi kesan kepada pengikut-pengikut terutama untuk mencapai kepada matlamat as-sa’adah atau kebahagiaan sebenar di dalam kehidupan.
Pembentukan sifat amanah dan adil seorang pemimpin tidak diperolehi hanya melalui warisan tetapi perlu diusaha, antara lain melalui pendidikan, pembelajaran dan pengalaman yang dilalui dalam tempoh tertentu. Pengukuran keberkesanan seorang pemimpin mengikut pandangan Islam dilihat bermula dari perspektif peribadi pemimpin itu sendiri dan kemudian barulah menjalar kepada masyarakat dan negara keseluruhannya.
Seorang pemimpin yang memimpin sebuah negara besar umpamanya, tetapi terlibat dalam kesalahan moral seperti peminum arak dan sebagainya, tidak dianggap berkesan dan berjaya pada pandangan Islam, walaupun mungkin dianggap berkesan jika diukur dari segi prestasi kerjanya.
Di kalangan para sarjana yang membuat kajian lapangan dengan meneliti perilaku seorang pemimpin yang berkesan dan penerimaan oleh pengikut telah mendapati, tidak ada sifat-sifat khusus yang boleh dikatakan secara pasti atau mutlak untuk menentukan tahap tertinggi kredibiliti dan keberkesanan seorang pemimpin. Ini kerana ada sifat-sifat tertentu yang adakalanya tidak sesuai atau serasi dengan kumpulan tertentu tetapi serasi kepada kumpulan lain.
Seorang sarjana Islam pernah berkata: ‘Bukan semua pemimpin mempunyai sifat-sifat tertentu kerana terdapat juga ramai orang yang memiliki kebanyakan atau semua sifat tersebut dan orang ini bukan semua terdiri daripada golongan pemimpin belaka’.
Walaupun begitu, umumnya dipersetujui bahawa terdapat sifat-sifat yang amat diperlukan untuk menjadi seorang pemimpin yang berkesan seperti mempunyai ilmu pengetahuan yang mencukupi untuk memimpin dan berkeupayaan mentadbir dan mengurus organisasi dari segi perancangan, perlaksanaan dan pengawalan untuk mencapai kepada objektif yang ditentukan.
Justeru itu, di kalangan para ulama’ Islam, mereka cuba menyenaraikan beberapa sifat kepimpinan yang dianggap perlu ada pada seorang pemimpin Islam. Seorang pemimpin yang berada di barisan hadapan memimpin ummah memerlukan kualiti yang tinggi dari segi kehebatan fizikal dan juga spiritual.
Memandangkan pentingnya kualiti seorang pemimpin dalam Islam, para ulama’ memberi perhatian yang mendalam membincangkan pelbagai jenis karakter yang perlu wujud untuk menjadikannya berkesan. Berikut dijelaskan pandangan beberapa orang ulama’ Islam berhubung dengan karakter yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin utama:
1. Al-Mawardi menetapkan 6 syarat untuk menjadi seorang khalifah iaitu:
- Keadilan yang meliputi segala syarat;
- Memiliki ilmu pengetahuan yang sampai ke peringkat boleh berijtihad;
- Memiliki kesejahteraan pancaindera, pendengaran, penglihatan dan lisan ;
- Memiliki kesejahteraan anggota badan dari kecederaan yang menjejaskan pergerakan harian;
- Memiliki kecerdasan fikiran sampai kepada peringkat sanggup mempertahankan kehormatan dan berjihad menentang musuh; dan,
- Berbangsa dan berdarah keturunan Quraish;
2. Imam al-Qurtubi, beliau meletakkan 11 syarat untuk menjadi seorang khalifah iaitu:
Berketurunan Quraish berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: ’Pemimpin hendaklah dari keturunan Quraish’;
Terdiri dari seorang yang layak menjadi qadi, boleh berijtihad sendiri tanpa bergantung kepada orang lain untuk mengeluarkan sesuatu keputusan;
Mempunyai kewibawaan dalam urusan ketenteraan dan dapat membenteras kezaliman dan menjaga kepentingan umat Islam;
Mempunyai pendirian yang teguh dalam menjalankan hukum syariat tanpa gentar dan takut dengan mana-mana pihak;
Hendaklah seorang yang merdeka dirinya;
Seorang yang beragama Islam;
Seorang lelaki;
Sejahtera anggota tubuh badan dari sebarang kecacatan ;
Seorang yang baligh;
Seorang yang berakal sihat; dan
Seorang yang adil di mana tidak layak bagi yang fasiq menjadi pemimpin.
3. Ibn Khaldun menetapkan 4 syarat sahaja untuk menjadi khalifah iaitu:
Memiliki ilmu pengetahuan sehingga sampai ke peringkat berijtihad;
Keadilan - di mana semua jawatan dalam agama mesti berlandaskan keadilan;
Kesanggupan dan berani menjalankan undang-undang hudud serta menghadapi peperangan dan boleh mengarah rakyat berperang, mengetahui hal ehwal diplomasi dan cekap dalam siasah; dan
Kesejahteraan pancaindera dan anggota badan dari kecederaan seperti gila, buta, tuli, bisu, cacat tangan, kaki dan sebagainya.
4. Al-Baghdadi, sama seperti Ibn Khaldun menetapkan 4 syarat untuk menjadi khalifah dengan penekanan kepada sifat-sifat yang berbeza iaitu:
Mempunyai ilmu sekurang-kurangnya sampai ke peringkat mujtahid dalam soal halal dan haram dalam hukum agama;
Adil dan warak, sekurang-kurangnya dirinya boleh menerima kesaksian;
Mempunyai kemampuan berpolitik serta bijak dalam pengurusan negara, mampu membaca kemampuan rakyat sehingga tidak membebankan kerja-kerja kepada orang yang lemah serta bijak juga dalam urusan ketenteraan; dan
Berketurunan Quraish.
Jika diperhatikan kepada penentuan karakter kepimpinan berkesan yang diberikan oleh para ulama’ Islam, didapati mereka menekankan tentang kemampuan para pemimpin memimpin pengikut-pengikut menuju kepada keredhaan Allah dan memahami tujuan hidup sebenar.
Aspek ’quwwah’ atau keupayaan dari segi ilmu pengetahuan dan kesejahteraan fizikal merupakan syarat utama dalam memimpin ummah di samping pemimpin memiliki keperibadian yang unggul sehingga dihormati dan disanjungi oleh para pengikut. Hisham al-Talib (1992) menggariskan 7 faktor kepimpinan berkesan yang dibuktikan melalui penyelidikan saintifik sebagai bandingan dengan apa yang disebut sebelum ini seperti berikut:
1. Kemampuan Mental.
Dia tidak semestinya mempunyai kecerdasan yang luar biasa.
2. Minat dan Kebolehan yang Luas.
Dia bukan saja aktif dalam satu bidang sahaja. Dia mempunyai kefahaman yang luas, kecenderungan yang banyak dan pelbagai. Dia seorang yang peka, mempunyai minat yang luas terhadap kerja-kerja yang melibatkannya secara langsung, termasuk pelbagai perkara dan aktiviti-aktiviti penting di persekitarannya. Jelasnya dia seorang yang dikurniakan kelebihan yang luas.
3. Kemahiran Komunikasi.
Salah satu gelaran yang diberi kepada Nabi Muhamamd s.a.w. ialah orang yang paling fasih bertutur bahasa Arab. Mengikut Cambrige History of America Literature: ‘Bukan polisi dan tindakkannya yang menyebabkan kemenangan Lincoln menerajui partinya pada tahun 1680, tetapi cara ianya menyampaikan sesuatu’. Dalam setiap revolusi orang yang dapat menyampaikan sesuatu dengan baik dapat memimpin.
4. Kematangan.
Seorang pemimpin yang berjaya bebas dari sifat kebudak-budakkan, sikap dan tingkahlakunya adalah tindakan orang yang dewasa yang bertanggungjawab dan matang. Dari segi psikologinya dia seorang yang stabil dan menggambarkan kestabilan peribadi kepada pengikut-pengikutnya.
5. Kekuatan Motivasi.
Dorongan, tenaga, inisiatif, ketabahan, keupayaan memuliakan diri sendiri dan pendirian yang tetap telah lama diterima sebagai tanda pemimpin yang kuat. Pemimpin yang berjaya suka merancang, mengurus dan mengarah usaha yang lain. Dia mempunyai keinginan yang kuat untuk mencapai sesuatu.
6. Kemahiran sosial.
Kepimpinan pada dasarnya memperoleh sesuatu melalui orang lain, yang menunjukkan secara jelas bahawa pemimpin yang jelas mesti bergantung kepada kemahiran sosial. Dia mesti peka terhadap perasaan dan sikap manusia, sama ada jelas atau tidak. Dia mesti tegas untuk mempengaruhi orang lain dengan berkesan.
7. Keupayaan Mentadbir.
Kebolehan membayang, memulakan, merancang, mengarah, menyelesaikan, menilai orang lain, memilih, mengajar, meransang, mengkaji, meneliti, memerhati, memperbaiki, melihat dengan pandangan yang jauh, meringkaskan, memutuskan, memastikan kerja dilaksanakan; perkara-perkara ini merupakan kemahiran yang dipegang oleh pemimpin lebih daripada teknologi.
Meskipun dalam situasi yang berlainan, sifat-sifat yang diutarakan oleh para ulama’ mempunyai signifikasi untuk melahirkan kepimpinan yang berkesan, iaitu bukan sahaja berkesan dari kacamata para pengikut, tetapi juga pada pandangan Allah s.w.t. Dalam konteks kepimpinan masa kini, konsep kepimpinan Islam perlu bergerak dalam semua lapangan kehidupan dan dipraktikkan oleh semua pihak dari para ustaz, ahli politik, jurutera, arkitek, ahli perniagaan, guru, peniaga dan sebagainya.
Dalam konsep Islam yang syumul, apa sahaja bidang berkaitan profesion pekerjaan yang menyumbang kepada kebaikan rakyat dan negara perlu dianggap sebagai ibadah dengan mendahului niat kerana Allah sesuai dengan tanggungjawab sebagai khalifah Allah yang memakmurkan muka bumi.
No comments:
Post a Comment