Belia Agenda Terpenting Negara
Yang Berhormat Dr. Haji Wan Junaidi Bin
Tuanku Jaafar, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat menasihati golongan
belia supaya berfikiran lebih matang di samping mereka mempunyai
keberanian untuk menerokai sesuatu yang baru. Beliau menegaskan bahawa
belia harus berfikiran lebih jauh di dalam setiap aspek termasuk
politik, ekonomi dan sosial dan seharusnya mengambil tahu perihal dalam
dan luar negara supaya dapat menilai sesuatu agenda dengan lebih matang.
Ini kerana belia adalah pewaris bagi menerajui kesinambungan serta
kesejahteraan Malaysia.
Ujar beliau lagi, kesedaran dalam merebut
peluang untuk memiliki ilmu harus ada di dalam setiap diri belia
kerana masa depan di lihat semakin mencabar. Menyentuh isu belia yang
merancang untuk merantau ke destinasi yang baru, beliau menasihati
supaya belia harus melihat keadaan di suatu tempat baru itu secara
menyeluruh supaya mempunyai pemikiran yang luas serta berpandangan jauh.
Dengan memiliki ilmu pengetahuan serta
kemahiran, ianya dilihat mampu untuk dijadikan sebagai benteng diri
dalam menempuh arus perdana yang getir. Beliau turut mengambil contoh
beberapa perkara yang telah berlaku di dalam negara ini seperti belia
dimanipulasikan oleh pihak tertentu sehingga ada segelintir belia
terjebak dalam memperjuangkan kepentingan fahaman parti politik
tertentu, tanpa mereka mengetahui apakah niat sebenar pihak berkenaan.
Fenomena sebegini sebenarnya telah merugikan belia itu sendiri. Senario
sebegini tidak akan wujud sekiranya belia mulai sedar dan memandang
sudut ilmiah sebagai rujukan.
Berpandangan kurang tepat dan menganggap
suara belia tidak akan membawa apa-apa perubahan di dalam negara harus
dikikis kerana peranan belia dalam memacu negara dilihat amat penting.
Beliau turut menyokong pembentukkan Parlimen Belia hasil inisiatif
kerajaan sekarang ini yang dilihat memberi peluang kepada belia untuk
menyuarakan pendapat, pandangan, mahupun menyumbang idea.
Strategi bijak yang direncanakan oleh
kerajaan ini diyakini mampu membina karakter belia menjadi lebih unggul,
berkarisma, cerdas dan dinamik. Bukti ini cukup menunjukkan kerajaan
sentiasa mengambil berat terhadap perkembangan belia dan menyokong padu
penyertaan belia di dalam proses menggerakkan jentera pembangunan
negara.
Beliau menambah, dengan adanya platform
untuk belia menyuarakan pelbagai pandangan, belia juga harus mempunyai
matlamat yang jelas dalam mengenali erti kehidupan dan berusaha lebih
gigih lagi untuk berjaya.
Beliau juga turut berkongsi sejarah
kehidupan beliau alami suatu ketika dahulu amat mencabar disebabkan
keadaan keluarga yang kurang berkemampuan di samping menetap kampung
nelayan yang serba serbi kekurangan. Namun faktor berkenaan tidak
mematahkan semangat beliau untuk berjaya seperti orang lain, hasil usaha
yang penuh iltizam itu beliau berjaya menjadi seorang peguam sehingga
kejayaan berkenaan telah mengubah nasib beliau sekeluarga.
"Jangan jadikan latar belakang kehidupan kita yang tinggal di kampung menjadi penghalang untuk kita menjadi insan yang berjaya", katanya
No comments:
Post a Comment