Friday 11 May 2012

KERJASAMA PENDUDUK AMAT PENTING

PENDUDUK SETUJU LKTNS TEROKA KAWASAN LUMIRI

Penduduk setuju LKTNS teroka kawasan Lumiri
KENINGAU 11th May, 2012: Penduduk di lapan buah kampung di kawasan Lumiri bersetuju agar Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS), menerokai kawasan itu yang bakal dinamakan Ladang Lumiri.
Kampung-kampung yang terlibat terdiri dari Kg. Pohon Batu Lama, Pohon Batu Baru, Tatalaan Ulu, Sumbiling, Binanun, Nangkawangan, Lumiri dan Memagun.
Pemimpin masyarakat di kawasan itu yang juga Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Barahim Andipoh berkata, penduduk kampung yang terlibat telah membuat ketetapan agar LKTNS diberi tanggungjawab membangun kawasan itu secara usahasama dengan penduduk.
Katanya, LKTNS telah terbukti membangun banyak kawasan dan telah memberi manfaat dari segi peningkatan ekonomi dan taraf hidup selain memberi peluang pekerjaan penduduk.
“Selain membuat ketetapan dan persetujuan dengan LKTNS, penduduk yang terlibat juga telah membuat ketetapan membantah mana-mana pihak atau syarikat-syarikat yang lain untuk memasuki kawasan itu,” katanya selepas taklimat bersama Jabatan Tanah dan LKTNS di salah sebuah hotel di sini kelmarin.
Taklimat itu dihadiri oleh lebih 30 pemimpin-pemimpin masyarakat terdiri dari Ketua Kampung, Pengerusi JKKK dan wakil-wakil penduduk kampung terbabit.
Ini katanya, kerana LKTNS telah menjadi pilihan penduduk sebagai agensi pelaksana sejak tahun 2009 lagi.
“Kita yakin LKTNS dapat melaksanakan tanggungjawabnya sebagai agensi kerajaan yang berperanan membangun tanah dengan sawit secara komersial,” kata Barahim.
Dokumen persetujuan kepada LKTNS dan bantahan kepada mana-mana syarikat lain itu diserahkan oleh Barahim kepada Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah, Datuk Abdul Ghani Datuk Yassin.
Terdahulu semasa memberi penjelasan berkaitan matlamat LKTNS Ghani berkata, pihak LKTNS telah terbukti membangun beberapa kawasan dengan tanaman sawit dan telah memberi pulangan kepada penduduk yang terlibat.
Katanya, selain kawasan-kawasan yang telah lama dibangunkan di Pantai Timur negeri ini, kawasan-kawasan baru turut dibangunkan di kawasan Sook dan Nabawan termasuk Ladang Pandiwan yang kini mula mengeluarkan hasil.
Ghani yang juga Ketua Umno Bahagian Pensiangan berkata, Ladang Lumiri akan dibangunkan apabila dokumen-dokumen yang berkaitan dapat diselesaikan.
“Pembangunan Ladang Lumiri memakan masa yang lama kerana ia perlu penelitian dan banyak perkara-perkara yang berkaitan perlu diselasai mengikut perundangan,” jelas Ghani.
Beliau berkata, LKTNS berbuat demikian bagi memberi kefahaman kepada penduduk agar tidak timbul masalah di kemudian hari nanti.
Hadir sama pada majlis itu Pengurus Wilayah Pantai Barat LKTNSMd Redzuan Laindon Tangkong, Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) Bahagian Keningau Puan Kamsiah Lee, Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Tanah dan Ukur dan LKTNS.

No comments:

Post a Comment