Sunday, 13 May 2012

AHLI PARLIMEN BARU

Parlimen Belia perlu ada garis panduan jelas


Oleh Budiman Mohd Zohdi
2011/06/06

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Himpunan Sejuta Belia sempena Sambutan Hari Belia 2011 di Putrajaya baru-baru ini mengumumkan inisiatif Penubuhan Parlimen Belia sebagai landasan golongan belia mengetengahkan pandangan dan cadangan mereka.

Penubuhan Parlimen Belia ini sekali gus dikatakan mengisi ‘tiga permintaan asas belia’, selama ini – iaitu golongan itu mahu suara mereka didengar, peranan mereka diiktiraf, dan isu belia ditangani dengan cara berorientasikan mereka.

Tentunya idea ini sesuatu yang menarik untuk diperbincangkan kerana pada masa sama pada peringkat daerah, negeri dan kebangsaan Majlis Perundingan Belia menjadi landasan untuk pertubuhan belia memberikan pandangan dan cadangan kepada kerajaan. Ini bermakna struktur sedia ada tersusun dengan suara dari akar umbi untuk didengari kerajaan.

Sementara pada peringkat Pemuda Barisan Nasional (BN), mereka juga mempunyai landasan Makmal Generasi Pemuda Barisan Nasional (Makmal Pemuda) juga berperanan memberikan cadangan berkaitan isu anak muda dengan memberi penekanan terhadap kos sara hidup, peluang ekonomi, pendidikan dan perpaduan.

Ada tiga isu utama yang menjadi persoalan iaitu adakah landasan sedia ada gagal dicerap pihak kerajaan terhadap cadangan dikemukakan dan yang kedua siapakah sebenarnya layak dipilih sebagai Ahli Parlimen Belia? Apakah sebenarnya bidang kuasa Parlimen Belia ini?

Pendapat di kalangan pemimpin belia ialah mereka mahukan Parlimen Belia sebagai transformasi kepada landasan sedia ada. Penambahbaikan ini adalah pengiktirafan kepada golongan belia.

Ia tidak terhenti setakat itu, mereka berharap agar Parlimen Belia menjadi medan setiap isu yang diutarakan boleh diketengahkan dan diambil tindakan. Jika tidak, ia sekadar menjadi sembang kedai kopi dan yang akhirnya akan dimotivasi golongan belia. Kesannya menjadi lebih buruk kepada kerajaan, hilang kepercayaan daripada golongan belia.

Isu yang menarik perhatian juga ialah siapakah yang layak untuk menganggotai Parlimen Belia? Jika ia penambahbaikan kepada platform sedia ada tentunya Pengerusi Majlis Belia Daerah, wakil dari Makmal Pemuda, wakil Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Negeri (MBN) dan juga tidak terkecuali Majlis Perwakilan Pelajar dari setiap universiti.

Perlu juga ada wakil dari belia yang tidak mewakili pertubuhan belia sedia ada tetapi mempunyai pengikut seperti penggiat muzik dan sukan. Juga boleh dipertimbangkan ialah belia yang tidak gemar berpersatuan namun aktif dalam media sosial.

Oleh kerana ia Parlimen perlu juga ada suara yang mewakili parti politik tidak kira di pihak kerajaan atau pembangkang.

Had umur adalah perkara utama dalam tafsiran belia, dalam menentukan Ahli Parlimen Belia, rujukan terhadap ini tentulah Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia 2007 iaitu mereka yang di bawah 40 tahun.

Apakah bidang kuasa Parlimen Belia? Sebaiknya ada garis panduan yang jelas membezakan Parlimen Belia dengan Parlimen sedia ada. Isu yang diperbahaskan mestilah bermatlamat kepentingan belia dan dalam masa sama turut membincangkan sumbangan belia dalam menentukan hala tuju negara.

Parlimen Belia juga boleh berperanan sebagai ‘check and balance’ kepada dasar kerajaan. Ahli Parlimen Belia boleh berperanan membuat penyelidikan terhadap isu pembangunan belia dengan geran disediakan pihak kerajaan.

Pada peringkat akar umbi banyak persatuan belia sedang merasai kepayahan akibat ketiadaan dana untuk Skim Tabung Ekonomi Belia (STEB) dan Bantuan Memperkasa Pertubuhan Belia namun tetap menerima berita inisiatif Parlimen Belia dengan nada yang gembira. Sebenarnya belia mahu pandangan mereka diambil tindakan dan tidak sekadar didengari.
 

Statistik Belia

No comments:

Post a Comment