Thursday, 10 May 2012

BERITA UNTUK BELIA

Parlimen Belia Dijangka Dapat Dilaksanakan Awal 2013

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Cadangan mewujudkan Parlimen Belia bagi mengetahui pandangan, cadangan dan cita rasa golongan belia di negara ini dijangka dapat dilaksanakan pada akhir tahun depan atau awal tahun 2013.
Menteri Belia dan Sukan,  Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pelaksanaan Parlimen Belia ini akan melalui beberapa proses iaitu mendapatkan kelulusan pengurusan tertinggi, Kabinet dan Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB),Semakan Akta 668, Pengumuman Inisiatif Parlimen Belia,  Bengkel Pelaksanaan Parlimen Belia dan Penubuhan Jawatankuasa Perlaksanaan.
“Selain itu Parlimen ini juga akan melalui proses Hebahan dan Promosi Permohonan Perwakilan, Pemilihan Perwakilan oleh Jawatankuasa Pemilihan, Persidangan Pertama (Percubaan), laporan serta Bengkel Penambahbaikan Pelaksanaan Parlimen Belia,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.
Shabery berkata Parlimen Belia ini juga akan seterusnya membuat akta mengenai Parlimen berkenaan sekiranya diperlukan.
“Proses perbahasan pula akan dijalankan oleh komuniti masing-masing mengikut bidang seperti sosioekonomi atau modal insan di mana isu-isu akan dibahaskan mengikut perkara yang diputuskan oleh komuniti mereka seperti isu pekerjaan, perumahan, pelajaran dan alam sekitar.
“Perbahasan berdasarkan kepada isu dan bukan berdasarkan kepada parti…di sini tiada parti politik yang terlibat kerana ini bukan kerajaan,” katanya.
Beliau juga berkata pelaksanaan Parlimen Belia ini diharap dapat membantu dan mendidik serta membangunkan proses demokrasi yang akan datang memandangkan anak-anak muda akan dididik di peringkat awal lagi.
“Kita akan menjadi jambatan kepada golongan belia melalui Parlimen Belia dengan pihak Kabinet dan juga Parlimen yang sedia ada ini,” katanya lagi.
Cadangan untuk menubuhkan Parlimen Belia ini disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berucap merasmikan Himpunan Sejuta Belia sempena Hari Belia Negara 2011 di Putrajaya pada 28 Mei lepas.

No comments:

Post a Comment