Monday 7 May 2012

JANGAN PERLEKEHKAN PERMOHONAN RAKYAT

JANGAN LENGAH PERMOHONAN RAKYAT - EWON

image RANAU 3 Jun - Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah meminta semua pegawai daerah tidak melengah-lengahkan segala bentuk permohonan rakyat supaya kelulusan dapat diberi dengan cepat mengikut keperluan.
Menterinya, Datuk Dr. Ewon Ebin (gambar) berkata, pejabat daerah adalah tempat utama untuk menerima, menyenarai, memantau dan memproses semua keperluan rakyat sebelum dikemuka kepada pihak berkaitan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan itu berkata, pihaknya menerima rungutan rakyat menyatakan masih tidak mendapat bantuan sedangkan permohonan sudah lama dihantar.
''Kita sering mendengar rungutan rakyat yang mengatakan mereka dipinggirkan kerana tidak menerima sebarang bantuan atau kemudahan sepatutnya daripada kerajaan negeri atau Pusat.
''Kita mempunyai banyak jenis peruntukan pembangunan sama ada daripada wakil rakyat, kerajaan negeri atau Pusat," katanya semasa berucap merasmikan Pesta Kaamatan peringkat kawasan Paginatan di Kampung Maringkan di sini hari ini.
Ewon berkata, kelewatan tersebut hanya menyukarkan usaha kerajaan dalam menyalur bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Beliau berkata, salah satu sebab jabatan atau agensi kerajaan berkaitan dilihat seoalah-olah tidak menimbang proses permohonan ialah kerana tidak menerima borang permohonan.
''Bagaimana hendak menyalurkan bantuan kepada rakyat kalau jabatan atau agensi yang berkaitan tidak menerima permohonan?'' soalnya.
Tegasnya, perbuatan tersebut perlu dielak daripada berlaku lagi pada masa hadapan demi menjaga kepentingan rakyat dan perkara itu akan turut menjejaskan imej kerajaan.
Katanya, punca lain permohonan lambat diproses adalah kerana maklumat salah atau kurang tepat yang diperoleh pejabat daerah.
Katanya, sebagai langkah drastik, pihaknya akan memanggil semua pegawai daerah untuk berbincang dan mencari jalan terbaik menyelesai masalah tersebut.
''Saya akan membuat perubahan khusus bagi mengaktifkan kerja-kerja pegawai daerah bagi menilai semua keperluan rakyat selain memastikan senarai keperluan sampai kepada jabatan kerajaan berkaitan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment