Thursday 10 May 2012

MASALAH BEKALAN AIR LUAR BANDAR

RM1.97 Bilion Laksana 1,089 Projek Bekalan Air Luar Bandar

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Kerajaan membelanjakan RM1.97 bilion bagi melaksanakan 1,089 projek bekalan air kawasan luar bandar di seluruh negara yang dijangka siap Disember tahun ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek berkata peruntukan itu meningkat berbanding RM413.4 juta melibatkan 554 projek tahun lepas dan RM297.38 juta melibatkan 671 projek pada 2009.
“Peningkatan ini menunjukkan kerajaan sentiasa komited membangunkan segala kemudahan untuk penduduk luar bandar,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Hasan berkata kerajaan turut membelanjakan RM1.36 bilion bagi melaksanakan 582 projek bekalan elektrik di kawasan luar bandar tahun ini, dan daripada jumlah itu, 146 projek telah siap manakala bakinya akan disiapkan pada Disember.
Peruntukan itu turut menunjukkan peningkatan berbanding RM703.1 juta melibatkan 387 projek tahun lepas dan RM410.38 juta melibatkan 296 projek pada 2009.
Katanya sebanyak 54,374 buah rumah telah dibangunkan di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) di kawasan luar bandar sejak 2009 hingga bulan lepas melibatkan peruntukan berjumlah RM1.36 bilion.
Pada tahun 2011 sehingga September, sejumlah 7,514 unit rumah telah siap dibina yang mana perbelanjaan kos adalah sebanyak RM154.54 juta.
Hasan berkata bagi tahun lepas sebanyak RM431.6 juta telah dibelanjakan bagi menampung pembinaan 16,926 rumah manakala pada tahun 2009 sebanyak RM551.1 juta dibelanjakan membina 19,467 rumah.

Berita Bertarikh 1 November 2011 Pada 2:18 PM

No comments:

Post a Comment