Friday, 18 May 2012

Khairy Jamaluddin: Sokongan Muda Berpihak Kepada Umno

Khairy Jamaluddin: Sokongan Muda Berpihak Kepada Umno



Kehadiran puluhan ribu golongan muda semasa sambutan ulang tahun UMNO ke-66 di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini jelas membuktikan bahawa parti itu masih menerima sokongan padu daripada golongan muda.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata ini membuktikan bahawa tanggapan sesetengah pihak kononnya Umno tidak lagi mendapat sokongan golongan muda tidak benar sama sekali.

"Justeru kehadiran ramai golongan muda dalam perhimpiniunan jalanan di ibu kota pada 29 April lepas tidak boleh dijadikan ukuran untuk mengatakan bahawa sokongan golongan muda kini telah beralih arah kepada pembangkang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum Auto anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di sini.

Khairy berkata golongan muda sangat selesa berada di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana banyak suara dan masalah mereka didengar dan diteliti oleh Najib.

"Kerajaan mengadakan pelbagai program dan pelbagai dasar terutama dasar pemilikan tanah, pemilikan rumah pertama, pinjaman yang kita berikan kepada mahasiswa dan juga banyak dari segi latihan, usahawan muda," katanya.

Kerajaan juga, katanya banyak memberikan pengkhususan kepada orang muda dan juga melalui dasar-dasar kerajaan BN sekarang ini seperti pemansuhan Akta Rahsia Rasmi (ISA) dan kebebasan politik yang lebih diberikan kepada pelajar universiti dengan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

"Ini semua adalah tuntutan orang muda yang hendak lihat kepada kebebasan sivil yang lebih luas lagi contohnya orang mudalah yang paling lantang mengkritik ISA sehingga ia dimansuh dan digantikan dengan akta yang membenarkan semakan mahkamah contohnya, jadi kita lihat banyak dasar yang menjadi titik sentuh kepada orang muda," katanya lagi.

Beliau yakin dengan dasar-dasar BN yang realistik serta berpijak pada bumi nyata, majoriti anak muda akan memberi kepercayaan mereka kepada kerajaan hari ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment