Insan bernama Muhammad Rasulullah s.a.w. adalah manusia agung. Baginda adalah model dan ikutan sebenar yang telah memberi panduan kepada seluruh umat manusia dengan lengkap dan sempurna dalam seluruh aspek.
Keunggulan insan bernama Muhammad s.a.w. dapat dilihat sebagai seorang pemimpin Negara, ahli politik, pembuat keputusan (tempat rujukan), panglima tentera, ahli diplomasi, ahli diplomatik, pakar hubungan antara kaum, pakar strategi, pakar perlembagaan, pakar pembangunan sumber manusia (modal insan), pakar pembangunan negara dan masyarakat serta pelbagai bidang lain yang tidak dapat dinyatakan secara khusus.
Pandangan Tokoh Bukan Islam Mengenai Muhammad s.a.w.
1. Michael H. Hart.
Michael H. Hart adalah ahli sejarah, pakar matematik dan astronomi. Beliau menulis buku bertajuk The 100 yang diterbitkan pada tahun 1978. Kemudian buku ini diterbitkan semula dengan tajuk The 100: A Ranking of The Most Influential Persons in History terbitan Carol Publishing Group pada tahun 1992.
Di dalamnya dimuatkan kajian beliau berkenaan 100 orang tokoh sejarah yang paling banyak memberi kesan dan mempengaruhi jalan hidup manusia. Akhirnya beliau merumuskan tokoh yang paling unggul dan berpengaruh adalah Nabi Muhammad s.a.w. Daripada 100 orang tokoh yang dikajinya, 10 nama yang teratas adalah:
i. Nabi Muhammad s.a.w.
ii. Isaac Newton.
iii. Nabi Isa.
iv. Buddha.
v. Confucious.
vi. St. Paul.
vii. Ts’ai Lun.
viii. Johann Gutenberg.
ix. Christopher Columbus.
x. Albert Einstein.
Mengapa Michael H. Hart memilih Nabi Muhammad s.a.w. sebagai tokoh yang paling berpengaruh dalam sejarah? Beliau berkata: ‘Pemilihan Muhammad sebagai tokoh yang paling berpengaruh di dunia mungkin mengejutkan sesetengah pembaca dan dipersoalkan oleh sesetengah yang lain. Saya memilihnya kerana hanya beliau seorang sahaja dalam sejarah yang begitu berjaya dalam 2 bidang iaitu keagamaan dan keduniaan. Daripada asal usul yang agak biasa, beliau mengasaskan dan mengembangkan salah satu agama terhebat di dunia dan menjadi seorang pemimpin politik yang unggul. Pada hari ini, 13 abad selepas kewafatan beliau, pengaruhnya masih hebat dan terus berkembang’.16
2. Profesor Jules Masserman.
Majalah Time edisi 15 Julai 1974, meminta masyarakat memberi pandangan mereka berkenaan satu persoalan iaitu ‘What makes a great leader? Throughout history, who qualifies?’ (Apakah kriteria yang menjadikan seseorang pemimpin agung dan sepanjang sejarah, siapakah yang layak digelar sebagai pemimpin agung?)
Jules Masserman, tokoh ilmu dalam bidang psiko-analisis dari Amerika Syarikat dan juga Profesor di Universiti Chicago berkata: ’Seseorang pemimpin perlu melaksanakan tiga fungsi iaitu memelihara kesejahteraan pengikut-pengikutnya, mewujudkan satu sistem sosial yang selamat lagi terjamin dan menyemai nilai kepercayaan untuk diikuti oleh pengikut-pengikutnya’.
Selepas mengutarakan kriteria-kriteria ini, Profesor Jules Masserman akhirnya menulis, ‘Tokoh-tokoh seperti Pasteur dan Salk dapat dikatergorikan sebagai pemimpin yang memiliki kriteria pertama. Alexander, Caesar dan Hitler pula dianggap sebagai pemimpin yang melaksanakan kriteria kedua dan mungkin juga ketiga. Pemimpin terunggul dalam sejarah adalah Nabi Muhammad kerana beliau melaksanakan ketiga-tiga kriteria ini, diikuti oleh Nabi Musa’.17
3. George Bernard Shaw.
George Bernard Shaw dilahirkan di Dublin pada tahun 1856. Beliau terkenal sebagai ahli falsafah, pemikir, seniman, pengkritik, tokoh intelek, tokoh sastera, penulis dan aktivis masyarakat. Pernah dikurniakan anugerah Nobel Sastera pada tahun 1925. Kemampuan dan ketokohannya dalam pelbagai bidang menjadikannya disanjung oleh masyarakat Barat hingga kini.
Dalam bukunya yang bertajuk ‘The Genuine Islam’, beliau berkata: ‘Saya sentiasa menyanjung agama yang dibawa oleh Muhammad kerana kehebatan dan potensi yang ada padanya. Ia adalah satu-satunya agama yang pada pandangan saya mempunyai kemampuan untuk disesuaikan dengan perubahan-perubahan yang sering berlaku dalam kehidupan. Justeru, menjadikannya menonjol pada setiap zaman. Saya mengkaji manusia hebat itu, yakni Nabi Muhammad dan pada pandangan saya beliau bukannya anti Nabi Isa, sebaliknya beliau layak digelar sebagai Penyelamat Umat Manusia’.18
Begitu juga dengan pendapat tokoh-tokoh Barat yang lain seperti Stanley Lane Poole, Thomas Carlyle, Profesor K.S. Ramakrishna Rao, Profesor Laura Vecccia Vaglieri, Profesor Sue Watson, Paderi Kenneth L. Jenkins, Paderi George Anthony, Paderi Viacheslav Sergeevich Polosin, Paderi David Benjamin Keldani, Paderi Ibrahim Khalil Philobus serta Vincent Montagne.
Mereka yang mengkaji secara adil dan saksama berkenaan Nabi Muhammad pasti mengkagumi dan menghormati beliau seperti yang dikatakan oleh seorang tokoh dari India, Mrs. Annie Besat, di dalam bukunya ‘The Life and Teachings of Muhammad’. Beliau berkata: ‘Seseorang yang mengkaji kehidupan dan sifat nabi dari bumi Arab ini dan tahu mengenai ajaran dan cara hidupnya, pasti memberikan penghormatan kepada nabi yang agung ini’.
Kesimpulan
Masyarakat yang cemerlang terbentuk dari kepimpinan yang cemerlang. Lebih ramai pemimpin yang memahami kepimpinan sebagai amanah dilahirkan dalam sesebuah masyarakat, akan lebih makmur dan sejahtera masyarakat. Oleh kerana setiap individu Muslim dianggap pemimpin, mereka mesti membina potensi kepimpinan masing-masing yang berkesan kepada orang yang dipertanggungjawabkan.
Kepimpinan mesti dianggap sebagai melaksanakan amanah Allah. Ada yang mengatakan, untuk menjadi pemimpin, perlu diamalkan satu falsafah iaitu “think like a leader” atau sentiasa berfikir seperti ketua. Dengan cara itu, setiap tindakan akan dibuat dengan matang, dengan mengambil kira reaksi dan respon pengikut-pengikut. Kepimpinan berkait rapat dengan menjalankan tanggungjawab dan memberi hak yang wajar kepada yang berhak.
menerimanya dan ianya banyak bergantung kepada kualiti modal insan yang dilahirkan oleh negara yang mampu bersaing di peringkat global.
Rujukan.
1. Ibn Taymiyyah, 1995. Siasah Syar’iyyah: Etika Politik Islam, terjemahan Rofi Munawwar.
2. Jaafar Muhammad, 1988. Asas Pengurusan.Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
3. Mohd. Affandi Hassan, 1992. The Tawhidic Approach in Management and Public Administration: Concepts, Principles and an Alternative Model. Kuala Lumpur: INTAN.
4. Mustafa Hj. Daud, 1994. Pengurusan Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publication and Distributors Sdn. Bhd.
5. Naceur Jabnoun, 1994. Islam and Management. Kuala Lumpur: Institut kajian Dasar.
6. Michael H. Hart, 1978. The 100: A Ranking of The Most Influential Persons in History. New York.
7. Ahmad Deedat. What Does The Bible Say About Muhammad, The Prophet of Islam.
8. George Bernard Shaw. The Genuine Islam, vol. 1, No. 8. Singapore, 1936.
No comments:
Post a Comment