Wednesday, 9 May 2012

AL-QUR'AN DAN SUNNAH SEBAGAI SUMBER HUKUM

Al-Quran dan As-Sunnah merupakan dua sumber utama hukum hakam Islam. Allah berfirman dalam Surah Ali-Imran ayat 164, Sesungguhnya Allah memberi kurniaan kepada orang-orang beriman ketika Allah mengutus antara mereka seorang Rasul dari golongan mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan jiwa mereka serta mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah.



Ayat ini menjelaskan, Allah mengutus RasulNya untuk mengajar dua perkara penting kepada manusia, pertamanya al-Kitab dan keduanya al-Hikmah. Ini bermaksud Nabi diarahkan supaya tidak hanya mengajar Al-Quran tetapi juga mengajar al-Hikmah kepada umat Islam. Sahabat-sahabat Nabi Muhammad bersepakat, dua perkara yang diajarkan Nabi Muhammad kepada mereka ialah Al-Quran serta As-Sunnah. Justeru al-hikmah pada ayat ini bermaksud as-Sunnah. Sejarah menunjukkan tidak ada seorang tokoh Muslim pun dari generasi yang awal yang menolak As-Sunnah sebagai sumber hukum. Sebagai golongan yang awal, pendirian mereka amat relevan kerana mereka hidup di bawah naungan sistem Islam yang diwarisi dari Rasulullah. As-Sunnah ketika itu tidak hanya dijadikan sebagai panduan di peringkat individu, malah ia merupakan panduan serta rujukan di peringkat Negara Islam terutamanya pada zaman khalifah ar-rasyidin yang memakan masa lebih kurang 30 tahun. Tidak ada sebarang pertelingkahan berhubung Sunnah sebagai sumber hukum ketika itu.



Sebenarnya, sahabat-sahabat Nabi dididik sejak dari awal lagi oleh Nabi untuk mementingkan Sunnah atau Hadis. Sebagai contoh, sahabat Muaz bin Jabal pernah diutus oleh Nabi pergi ke Yaman. Untuk menguji kefahaman Muaz, Nabi bertanya kepada beliau beberapa soalan, Dengan apakah kamu memutuskan hukuman (di sana)? Jawab Muaz, Dengan Kitab Allah. Nabi bertanya lagi, Jika tidak ditemui (jawapannya) di situ? Jawab Muaz, Dengan Sunnah Rasul. Nabi terus bertanya, Jika tidak kamu temui (jawapannya) di situ? Muaz berkata, Aku akan berijtihad dan aku tidak akan mengabaikannya. Nabi terus bersyukur kepada Allah dengan jawapan Muaz ini. Riwayat ini menunjukkan Sunnah merupakan sumber hukum yang penting dalam Islam. Hadis ini dipandang kuat oleh Ibn Abdill Barr, Ibn Taimiyah, Ibn Al-Qayyim, Az-Zahabi, Ibn Kathir dan ramai lagi. Imam Syaukani juga mempunyai pandangan yang sama berhubung hadis ini.



Di zaman khulafa ar-rasyidin, sunnah dijadikan sebagai sumber penentuan polisi dan perundangan dalam negara Islam. Ibn Qayyim meriwayatkan, Apabila (Abu Bakar) hendak memutuskan sesuatu hukum beliau mencari ketentuannya dalam Al-Quran. Apabila tidak ditemui ketentuan itu dalam Al-Quran beliau mencarinya dalam Sunnah Ar-Rasul. Sekiranya masih belum ditemui ketentuannya, beliau akan bertanya kepada sahabat-sahabat Nabi yang mengetahui ketentuan yang diambil Nabi berhubung kes seumpama itu. Jika masih belum ditemui ketentuannya beliau menghimpunkan tokoh-tokoh sahabat untuk bermusyawarah dengan mereka.



Oleh kerana Hadis atau Sunnah adalah penting dalam Islam, sebahagian sahabat Nabi amat bersungguh-sungguh mencari sahabat-sahabat yang lain bertujuan untuk mendengar hadis-hadis yang dihafaz oleh mereka. Sebagai contoh, sahabat Abdullah ibn Abbas berkata, Kami pernah mendengar hadis dari salah seorang sahabat selepas kami mendatangi rumahnya dan menunggunya di depan pintu rumah sehingga kami menjadi mengantuk.. Hal ini diriwayatkan oleh Ibn Abdil Barr di dalam kitab Jamik Bayanil Ilmi.



Kefahaman berhubung as-Sunnah perlu mengikut metodologi tertentu. Antara yang terpenting, seperti yang disebutkan oleh Imam Hasan al-Banna dalam Usul 20, ialah, As-Sunnah perlu difahami melalui rijal atau periwayat hadis yang dipercayai. Maksud perkataan Imam Hasan al-Banna ini ialah, hadis-hadis mempunyai kategorinya, justeru seseorang perlu berhati-hati agar tidak berhujah dengan menggunakan hadis-hadis yang lemah (daif) atau palsu (mauduk). Sebaliknya beliau hendaklah menggunakan riwayat yang kuat atau sahih. Untuk tujuan ini seseorang perlulah menguasai ilmu Mustalah Al-Hadis. Berpandukan ilmu ini, ulama membahagikan hadis kepada dua bahagian besar:



Hadis Mutawatir iaitu hadis yang diriwayatkan oleh ramai perawi yang berkepercayaan sehingga tidak dapat dipertikaikan kebenarannya. Contoh hadis mutawatir ialah sabda Nabi yang bermaksud, Sesiapa yang berdusta atas namaku, maka ambillah tempat duduknya di dalam neraka. Hadis ini diriwayatkan oleh lebih dari seratus orang sahabat dengan kalimat yang lebih kurang sama melalui sanad-sanad yang berlainan.
Hadis Ahad iaitu hadis yang diriwayatkan oleh segolongan kecil perawi yang berkepercayaan dan ia dibahagikan kepada beberapa kategori, iaitu,
Hadis Sahih iaitu hadis yang bersambung-sambung sanadnya, diriwayatkan oleh mereka yang adil lagi sempurna dhabithnya, serta tidak ada sebarang syuzuz serta illat pada riwayat itu. Salah satu contoh hadis sahih ialah sabda Nabi yang bermaksud, Apabila manusia bertiga, janganlah dua orang daripada mereka berbisik-bisik tanpa melibatkan rakan mereka yang ketiga. Hadis ini diriwayatkan oleh perawi-perawi yang adil lagi berkepercayaan (iaitu Bukhari, Abdullah bin Yusuf, Malik, Nafi, Abdullah ibn Umar dan Rasulullah), sanadnya bersambung-sambung dan isinya tidak bercanggah dengan nas yang lebih kuat darinya.
Hadis Hasan iaitu hadis yang menepati syarat-syarat hadis sahih melainkan pada dhabith atau hafalan perawinya yang mempunyai sedikit kekurangan jika dibandingkan dengan yang sahih. Salah satu contoh hadis bertaraf hasan ialah sabda Nabi yang bermaksud, Jika tidak memberatkan ke atas umatku, akan aku suruh mereka bersugi gigi setiap kali mereka hendak bersolat. Hadis ini diriwayatkan oleh mereka yang adil lagi berkepercayaan (iaitu Tirmizi, Abu Kuraib, Abdah bin Sulaiman, Muhammad ibn Amr, Abu Salamah, Abu Hurairah dan Rasulullah), sanadnya bersambung-sambung serta tidak terdapat sebarang kecacatan pada isinya. Walau bagaimanapun, perawi yang bernama Muhammad bin Amr lemah sedikit dhabith atau hafalannya, justeru hadis ini dikategorikan sebagai hasan.
Hadis Daif atau lemah iaitu hadis yang terputus sanadnya ataupun wujud kecacatan pada seorang ataupun ramai perawi-perawinya. Di dalam ilmu hadis, hadis-hadis daif dikenali dengan pelbagai nama seperti mauquf (sanad hadis hanya sampai kepada sahabat), mubham (wujud kesamaran berhubung perawi-perawinya) dan munqathi (nama perawi sebelum sahabat digugurkan). Salah satu contoh hadis daif ialah sabda Nabi, Sesiapa yang melaksanakan solat (sunat) selepas maghrib sebanyak dua puluh rakaat, akan dibina baginya sebuah rumah di syurga. Hadis ini diriwayatkan oleh Tirmizi, Aisyah dan Rasulullah. Tirmizi tidak hidup sezaman dengan isteri Nabi, Aisyah, lantas tidak mungkin beliau dapat meriwayatkan sesuatu secara terus menerus dari Aisyah. Justeru, hadis ini dikategorikan sebagai muallaq kerana sanad hadis ini terputus di antara Tirmizi dan Aisyah Termasuk dalam kategori daif ialah hadis mauduk atau palsu. Umat Islam diharamkan beramal dengan menggunakan hadis-hadis mauduk dalam kesemua urusan hidup mereka. Antara hadis palsu yang menjadi pegangan mereka yang jahil ialah hadis yang bermaksud, Anak zina diharamkan syurga.


Nukilan Hamba Allah,

Dr. Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B., Alexandria),

Penulis buku "Perubatan Islam Dan Bukti Sains Moden", "Empayar Minda Muslim" dan "The Misunderstood Religion".

No comments:

Post a Comment