PRU 13 MUNGKIN JULAI INI
PILIHANRAYA umum
dijangka mungkin berlaku seawal Julai depan sebelum bulan Ramadhan
kerana Bersih 3.0 tidak memberikan kesan terhadap sokongan rakyat kepada
Barisan Nasional (BN), demikian menurut sumber BN.
The Malaysian Insider difahamkan pilihanraya tidak akan dilaksanakan
pada Jun ini kerana Datuk Seri Najib Razak akan bercuti ke luar negara
selama dua minggu bermula pertengahan Mei, walaupun beliau akan
menghadiri perjumpaan 'Rakan BN' di London pada 14 Mei.
"Selepas sambutan ulang tahun Umno pada 11 Mei, Perdana Menteri akan
menghadiri satu majlis di London, majlis graduasi anak lelaki beliau
sebelum ke Sepanyol untuk bercuti," jelas sumber kepada The Malaysian
Insider.
"Berkemungkinan pilihan raya tidak akan berlaku dalam bulan Jun. Julai
seperti sangat sesuai memandangkan kebanyakan pemimpin BN sudah bersiap
sedia untuk menghadapi pilihan raya, katanya dan menambah, ia mungkin
dilaksanakan sebelum 19 Julai memandangkan bulan puasa dijangka akan
bermula. Lebih 60 peratus rakyat Malaysia beragama Islam dan berehat
daripada aktiviti politik ketika bulan puasa.
Sumber lain menjelaskan Pengerusi BN itu telah mula mendapatkan sokongan
daripada rakan-rakan dan penyokongnya di seluruh negara, dengan lawatan
terbaru beliau ke Gua Musang Jumaat lalu yang mana telah mengenepikan
dakwaan piihan raya akan dilanjutkan ekoran insiden keganasan Bersih
3.0.
Malah beliau menegaskan hanya rakyat yang akan menentukan tarikh sebenar
pilihan raya. Beberapa laporan media antarabangsa menjangkakan Najib
akan menangguhkan pilihan raya umum ke-13 selepas insiden Sabtu lalu.
Namun Perdana Menteri itu, ketika menjawab soalan pemberita di sini,
tersenyum apabila diajukan persoalan tersebut dan menjelaskan "tarikh
pilihan raya tidak akan tergugat dengan perkara itu."
"Ia terpulang kepada rakyat. Kita akan membuat keputusan berdasarkan
pandangan rakyat terhadap kerajaan, tunggu sahaja," kata Najib.
Sumber itu turut menjelaskan Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin
Yassin, telah melawat ke semua negeri sejak beberapa bulan lalu bersama
dengan ketua BN Sarawak minggu lepas dan timbalannya di Sabah pada
hujung minggu lalu.
"Mereka yakin dan BN negeri turut yakin. Pilihanraya semakin hampir," kata sumber tersebut.
Beliau menjelaskan perhimpunan Duduk Bantah Bersih 3.0 yang dijalankan
serentak di 11 negeri dan 80 negara di seluruh dunia hanya menguatkan
lagi sokongan pengundi untuk menghadapi pilihanraya.
"BN masih kuat. Bersih hanya memberikan kesan yang minimum kerana ia
dirosakkan oleh PKR dan keganasan sewaktu protes tersebut telah mengubah
pendirian pengundi atas pagar," tambah sumber.
Rating Najib telah meningkat mendadak kepada 69 peratus dalam kaji
selidik terbaru telah mewujudkan spekulasi pilihanraya bakal dijalankan
pada Jun depan, walaupun penggal BN memerintah masih lagi berbaki hingga
Mac tahun depan.
Pakatan kerajaan tersebut menguasai 138 daripada 222 kerusi di Dewan
Rakyat dan menguasai kesemua negeri kecuali empat diperintah Pakatan
Rakyat (PR).
Pilihanraya seterusnya bakal menyaksikan lebih 2.2 juta pengundi baru,
yang telah mendaftar antara pilihan raya sebelumnya pada 2008 dan
penghujung tahun lalu. Hampir 60 peratus pengundi baru berbangsa Melayu,
bangsa dominan di negara ini.
Statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan jumlah pertambahan
pengundi tertinggi adalah Selangor dengan 165,222 individu, diikuti
Johor (124,240), Perak (96,710), Sabah (86,927), Kedah (84,704),
Kelantan (69,344), Penang (64,029), Sarawak (63,305), Kuala Lumpur
(61,040), Pahang (59,639), Terengganu (45,190), Negeri Sembilan
(42,009), Melaka (31,827), Perlis (9,881), Labuan (2,863) dan Putrajaya
(1,920).
Bersih, pertubuhan dengan 84 gabungan NGO. telah menolak daftar pemilih
SPR dan menuntut pilihan raya yang adil dan bersih ketika perhimpunan
mereka sejak 2007, dan terbaru pada 28 April lalu, yang menyaksikan
ribuan masyarakat turun ke jalanan untuk mengadakan tunjuk perasaan aman
duduk bantah.
Perhimpunan itu bagaimanapun bertukar ganas setelah perusuh mula
meruntuhkan penghadang yang didirikan bagi mengelakkan mereka memasuki
kawasan Dataran Merdeka.
Pentadbiran Najib telah melaksanakan tuntutan Bersih 2.0 pada Julai lalu
apabila membentuk pasukan khas pilihan Parlimen (PSC) berkaitan pilihan
raya, namun Bersih tetap berkeras daftar pemilioh SPR masih lagi tidak
bersih sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment